Sunday, July 17, 2011

Sunan Giri Wali 9 Gresik

Sunan Giri Wali 9 Gresik

Aku ke Giri setelah ziarahku
Ke Makam ayahanda sempurna
Bapa pendakwah di Tanah Jawa
Makam Maulana Ibrahim ku tinggalkan dengan syahdu
Terbayang di benakku
Ayahanda menasihati agar jangan gusar
Dengan karenah Melayu
Kerana manusia semua serupa
Membuat keputusan dan
Mengikut kecenderungan akal dan hati
Kehidupan ini adalah ke arah dua negara
Samada kita memilih syurga atau neraka.

Di Makam Sunan Giri
Aku menaiki tangga
Yang di tunggui fakir berserabut wajah
Kerana kefakiran tegar yang dideritai
Tercermin di muka tiada siapa sangsi.

Terilusi olehku Sunan sedang tenang di perbaringan
Hanya melihat perilaku dan hal orang
Kerana usianya telah sampai ajal
Yang faham dakwahnya tidak akan sesal
Yang jahil dan bebal bukanlah kehendak para daei
Tetapi ketetapan Tuhan sejak azali.

Kebodohan itu adalah hasil doa yang berterusan
Doa yang tidak mahu keluar dari kepompong kejahilan
Doa ayah bonda datuk nenek moyang
dan tiada ikhtiar daripada berdoa sendiri
Menukar kebebalan diri daripada Tuhan Illahi
Kerana tidak yakin doa boleh menukar takdir.

Aku lantas berdoa
Ya Allah Ya Rahman
Berilah aku kefahaman agamaMu
Seperti telah Kau kurniakan kepada waliMu ini
Ketika hayatnya.

Amin, amin ya Rabbal alamin.....

Tun Sheikh

3.30 ptg WI 3.6.2011
Makam Sunan Giri Kota Gresik

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Puisi Sastera
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere