Monday, July 18, 2011

Anakku..Bangunlah Bersihkan Diri

Anakku..Bangunlah Bersihkan Diri

(Sempena Demontrasi BERSIH 9.7.2011)
Anakku...
Bangunlah bersihkan diri
Bersihkan dalam rumah
Bersihkan laman rumah
Dan Bersihkan minda jahat negara ini.

Siang sudah hari
54 tahun sudah kita merdeka
Tetapi petualang Melayu masih menjajah
Menjajah minda mewarisi penjajah
Merajakan nafsu bersultankan keserakahan hati.

Anakku...
Bangun dan bersihkan kotoran Melayu
Yang mengaku Islam tetapi buta agama
Berikan mereka senjata ajaibmu
Yang ayah bekalkan
Ajarkan mereka isi-isi Al Quran
Berikan mereka perisai saktimu
Yang ayah sampaikan kepadamu
Berupa hadis-hadis dan sunah Nabi SAW
Agar Melayu pengkhianat itu sadar
Atau biarkan mereka mati dalam kemunafikan
Atau mati mencekik diri sendiri
Terhina kerana memperlekehkan Tuhan.

Anakku...
Bangunlah segera
Kerana sebenarnya Melayu perkasa
Tidak pernah terjajah
kecuali dengan minda
Dan kesesatan minda itupun tidak semua
Kerana kitalah warisannya.

Peganglah teguh-teguh
Wahai anakku
Dan cagarkanlah nyawamu
Dengan petunjuk Quran dan Hadis
Dan jangan malu kau mencekik Melayu pengkhianat itu
Dengan ketajaman ilmu tauhid
Membenam pengkhianat agama dan bangsamu.
Melayu munafik
Yang sememangnya kau amat kenal
Melalui petunjuk Allah dan rasul.


Ayuh bangun dan lakukanlah
Dengan doa dan bismillah! Bergeraklah!!

Oleh Tun Sheikh
12.00 mlm 9.7.2011
Kuala Lumpur.



O



Sunday, July 17, 2011

Sunan Giri Wali 9 Gresik

Sunan Giri Wali 9 Gresik

Aku ke Giri setelah ziarahku
Ke Makam ayahanda sempurna
Bapa pendakwah di Tanah Jawa
Makam Maulana Ibrahim ku tinggalkan dengan syahdu
Terbayang di benakku
Ayahanda menasihati agar jangan gusar
Dengan karenah Melayu
Kerana manusia semua serupa
Membuat keputusan dan
Mengikut kecenderungan akal dan hati
Kehidupan ini adalah ke arah dua negara
Samada kita memilih syurga atau neraka.

Di Makam Sunan Giri
Aku menaiki tangga
Yang di tunggui fakir berserabut wajah
Kerana kefakiran tegar yang dideritai
Tercermin di muka tiada siapa sangsi.

Terilusi olehku Sunan sedang tenang di perbaringan
Hanya melihat perilaku dan hal orang
Kerana usianya telah sampai ajal
Yang faham dakwahnya tidak akan sesal
Yang jahil dan bebal bukanlah kehendak para daei
Tetapi ketetapan Tuhan sejak azali.

Kebodohan itu adalah hasil doa yang berterusan
Doa yang tidak mahu keluar dari kepompong kejahilan
Doa ayah bonda datuk nenek moyang
dan tiada ikhtiar daripada berdoa sendiri
Menukar kebebalan diri daripada Tuhan Illahi
Kerana tidak yakin doa boleh menukar takdir.

Aku lantas berdoa
Ya Allah Ya Rahman
Berilah aku kefahaman agamaMu
Seperti telah Kau kurniakan kepada waliMu ini
Ketika hayatnya.

Amin, amin ya Rabbal alamin.....

Tun Sheikh

3.30 ptg WI 3.6.2011
Makam Sunan Giri Kota Gresik

Wali 9 Maulana Malik Ibrahim

Wali 9 Maulana Malik Ibrahim

Di Makam Maulana Aku disambut dengan kesepian
Kerana para mukim bersolat Jumaat
Makam wali begitu sepi
Hingga menyeret aku ke dunia dimensi.

Berilusi dan tergambar padaku
Makam wali ini dikawal oleh para santri
Sastrianya panglima serikandi
Yang tangkas dalam kelembutan
Yang tegas dalam syariat Islam.

Di sini aku beriktizam melupakan
Ingatan kepada kelakuan pemimpin Melayu UMNO
Yang memualkan.
Aku bermuzafir ke sini
Kerana mahu melupakan kezaliman mereka
Juga kebebalan sengaja menyemarakkan fitnah
Yang sangat dibenci.

Apalah lagi yang hendak diharapkan kepada mereka
Kerana mereka sanggup makan mayat saudara sendiri
Demi kebuasan kuasa dan harta
Dan nafsu yang bertopeng Melayu dan agama.

Aku bermuzafir ke makam ini
Untuk mengenang perjuangan ulama silam
Yang telah pergi menghadap Tuhan
Mereka gigih menyebarkan dakwah Islam
Bukan menabur fitnah seperti Melayu Umno
Untuk diri dan kekuasaan.

Makam Wali di Gresik ini
Menayangkan filem nostalgia
Seperti cerita UMNO berpura-pura dengan Islam
Tapi sebenarnya mereka membencinya
Lalu hati mereka dipenuhi Tuhan dengan hasad-dengki
Yang menjauhkan diri dari kesucian
Yang berdendam sesama sendiri
Demi kerakusan hati dan nafsu-nafsi.

Di sudut makam
Aku terfikir entah apa akan jadi jika di tanahairku
Peminta sedekah dan fakir miskin hanya berdiam
Tidak meminta-minta seperti di sini
Walau hanya mungkin untuk sesaat itu.
Terasa olehku adalah suatu keanihan
dan juga keajaiban.

Aku yakin
UMNO juga akan tidak dipedulikan
Mungkin mereka bagai pengemis yang sombong
Apabila tersungkur akibat kebodohan
Dan penipuan memperbodohkan Melayu.

Itulah balasan Tuhan
Yang memang wajar jika mereka
Terus menyombong diri
dan buta kepada ketulusan.

Oleh Tun Sheikh
1.00 tengahari WI 3.6.2011
Gresik Jawa Timur.

Wali 9 Ampel Dente

Wali 9 Ampel Dente

Aku ke Surabaya
Membawa sekeping hati yang sayu memikirkan
Kesombongan pemimpin Melayu
Yang mengaku pejuang bangsa dan Agama
Tetapi mencari nama politik pembohongan.

Aku ke Ampel Dente
Menziarahi makam wali yang telah berjasa
Aku pergi dengan sekeping hati yang lara
Bersama keluarga untuk melihat penghormatan yang diberi
Kepada para wali pejuang agama walau telah beratus tahun berlalu.

Dan aku tahu
Peminpin Melayu sekular akan pergi jua
Dengan penghormatan dari pembohongan yang dipaksakan.
UMNO akan terkubur jika Islam terus dipermain
Mereka menonjolkan penipuan demi penipuan.

Di makam wali itu
Aku melihat pelbagai ragam pengharapan
Yang nyata bagiku ialah penghormatan yang diberikan
kepada makam wali yang berjasa
Dan itu adalah takdir Tuhan
Yang mencurahkan rahmatNya untuk pengajaran.

Dan aku melihat jauh dengan perbandingan
Pemimpin Melayu UMNO sudah hilang hormat kepada ahli agama
Mengenang jasa dan mengingat budi insan yang telah pergi
Adalah jauh sekali bagai mentari dan bulan.

Di makam wali itu di Ampel Dente
Pelbagai wajah dengan pelbagai cerita sendiri
Kepada Tuhan aku berserah
Dan andai kata hendak dicari persamaan penghormatan
Kepada pemimpin UMNO dengan ketulusan beragama
Maka adalah jauh panggang dari api.
Itulah tanda-tanda kehancuran.

Oleh Tun Sheikh
8.30 am WI 3.6.2011
Masjid Sunan Ampel, Surabaya.

Saturday, July 16, 2011

Aku Termanggu-Manggu

Aku Termanggu-Manggu

Semingggu sudah berlalu
Sedih hatiku masih berbicara kelayuan
Tapi mengapa aku termanggu-manggu
Akibat tanah runtuh yang Tuhan datangkan
Yang meragut nyawa insan kecil
Mahu menjadi hafazan.

Hatiku terbakar bila berita sudah reda
Kerana mangsa bencana adalah orang agama
Pemimpin Melayu hilang entah ke mana
Bantuan pun tidak kunjung tiba
Kecuali dari rakyat miskin yang peka
Yang telah memberi seadanya.

Apa perlunya hati ini membenci
Pemimpin Melayu yang memandang nasib anak-anak yatim
Seolah-olah bukan perkara besar yang menguntungkan
Apa perlukah panas hati ini terus membara
Sehingga terpaksa berlawan dengan kesabaran
Lalu memanggukan tindakan dan pergerakan.

Aku termanggu-manggu
Walau otakku ligat memikirkan
Terasa sungguh sanggup hatiku
Melepaskan panah arjuna
Kepada pemimpin Melayu yang tidak mengenal lagi
Kemanusiaan....

Manakah kutipan zakatmu yang berjuta
Adakah terpaksa menunggu dulu perkiraan faedahnya
Dari hasil perniagaan dan pelaburan
Baru setelah itu engkau akan berikan
Oh!! sungguh aku menunggumu di hari pengadilan.
Meskipun ketika ini aku termanggu-manggu
Tapi roh dan fikrahku tidak layu.

Tun Sheikh
Hulu Langat
3.00 am 31.5.2011

Aku Terkedu

Aku Terkedu

Terkedu di hati ini
Terkejut pada diri sendiri
Terketar di urat dan sendi
Bila tanah runtuh meragut insan suci
Anak-anak yatim dan miskin
Yang pergi ke hadrat Illahi
Dengan cita-cita menjadi hafizi
Ditimbusi tanah dalam keadaan yang ngeri.

Aku malu jika ingin persoal
Mengapa mereka
Sehingga membuat jari dan tanganku terketar-ketar
Kerana baru sebulan aku membayangkan bencana
Akibat kesombongan pemimpin Melayu yang durjana.

Peminpin Melayu yang bongkak memilih bulu
Dengan lidah bercabang serta terjelir-jelir
Mencari kesempatan dan keuntungan duniawi
Seolah-olah mereka tahu akan tersingkir
Maka mereka berazam mengaut sedapatnya
Sebelum hilang kuasa dilitup angin kemanusian.

Atau mungkinkah kesombongan
Telah membutakan mata hati
Kerana tiada nampak sesalan diri
Walau datang dengan heli....

Hulu Langat...
Terkedunya hatiku memikirkanmu
Terbayang roh-roh yang pergi tersenyum
Kerana tuhan mengasihi mereka yang bersih dan suci.
Dan mungkinkah airpanasmu akan meletuskan gunung berapi
Kerana pemimpin Melayu terus sombong diri......

Tun Sheikh
Hulu Langat
12.00 mlm 22.5.2011
 
Copyright 2009 Puisi Sastera
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere