Wednesday, September 18, 2013

Merdeka 31 Ogos 2013



Merdeka 31 Ogos 2013

Merdeka tahun ini seperti kabut yang menutupi
Dan kabut  itu adalah gairah dan ceria hari raya puasa
Pemimpin BN kelihatan lesu tidak bermaya
Kerana tidak sanggup berbelanja
Menggunakan wang sendiri mahupun dari kerbau sembelihan.

Duit kantung pribadi yang digarap secara rasuah  tidak lagi untuk rakyat seperti dulu-dulu
Setelah kantung parti dan duit kerajaan tertabur di hari pilihan raya.
Garis-garis kerisauan jelas terpampang di wajah mereka.
Para ceti kapitalis  telah mula mendesak naik harga
Kerana wang ditaburkan itu berjuta-juta.

Rakyat pula sudah berkira-kira lokek untuk membeli bendera
Kerana muak dengan penipuan BN yang menjadikan hari kemerdekaan
Seperti hari milik parti mereka sahaja.

Merdeka tahun ini seperti melepas batuk di tangga
Kerana suasana pilihan raya masih terasa
BN menang hasil konspirasi duniawi
Hujung di suatu sudut yang hitam
Mereka berperang dengan pelbagai rasa
Untuk memulangkan modal para kroni
Dengan menaikkan harga barang atau apa saja
Dengan penuh kebimbangan, cuak dan curiga
Kerana rakyat yang bodoh akan dikorbankan lagi.

Oleh Tun Sheikh
Padang Pahlawan Melaka 31.8.2013

Aidil Fitri 2013



Aidil Fitri 2013

Datangmu dengan mentautkan hati antara keluarga dan sahabat handai
Yang masih panas terpisah atas keterlanjuran fahamam politik yang sering memangkah.
Yang kalah masih tidak berpuashati
Yang menang yakin bersalah kerana menipu bangsa sendiri.

Jauh di lubuk hati terasa sama-sama sungguh bersemangat
untuk membina bangsa harmoni, telus dan berintergriti.
Tetapi apabila terasa tangan yang belum keluar dari saku
Keinginan terus berkuasa dan memiliki duit curi
Bergejolak mengapungkan angan-angan  serta nafsu serakah
Takut miskin dan seronok bermewah-mewah…
Seronok bermegah-megah…
Seronok kelihatan kaya dan gah
Meskipun kesemuanya adalah habuan rasuah!

Aidil Fitri Ogos 2013
Adalah hari kemaafan sesama keluarga dan sahabat handai
Walau telah mula menjadi basabasi
Ia tetap dianggap mulia di sisi Illahi.

Oleh Tun Sheikh
Parit Jawa Muar 8.8.2013

Pilihanraya Kecil Besut



Pilihanraya Kecil Besut

Pilihanraya Kecil Besut membuatku mendongak ke langit
Terasa Tuhan menguji lagi
Terasa Tuhan memberi peluang dan pilihan
Tuhan membuka pendaftaran nama para pejuang
Meskipun hanya melalui perbuatan tangan
Untuk memilih antara pemimpin yang mencegah kemungkaran
Dengan pemimpin pengamal kefasikan

Terasa Tuhan memberi peluang lagi
Untuk mengubah system kepimpinan
Mengubah haluan sejarah politik
Dalam tangan penduduk Besut yang pasti akan ditanya.

Pilihanraya Kecil Besut berlansung di bulan puasa
Mengikat dan sebagai pencerahan campur tangan si jalang
Bagi orang yang cintakan pahala
Pemilihan dan ikhtiar yang diberi sangat nyata.
Lalu menang jua BN dengan angkuh dan serakahnya
Tapi tidak perlulah kecewa dan menggigit jari.
Kerana begitulah kehendak Tuhan apabila sesebuah tamadun akan dihancuri.

Oleh Tun Sheikh
Padang Temu Melaka 31.7.2013
 
Copyright 2009 Puisi Sastera
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere