Thursday, November 25, 2010

RAYA HAJI 2010

RAYA KORBAN 2010

Lagu puisi ini
Ku rakam pada raya haji kedua ,
Khamis 18 November 2010
Buat puteraku seusia 9 tahun
Yang bertanya….
Yang ku pandang dengan kasih seperti lainnya
Yang bernama Firdaus supaya aku ingat
Dan berharap ke sana…

Lagu puisi ini ku rakamkan dalam mindanya
Yang bertanya korban itu apa?
Mengapa nanti orang naik domba, lembu atau unta?
Padahal di zaman ini orang sedang cipta
Kenderaan berkuasa jet bertenaga cahaya.

Ku katakan korban itu
Adalah ketulusan lambang tawaduk
Lambang penyerahan nyawa yang tahu bersyukur
Bukan tanda membeli kenderaan domba, lembu atau unta
Ketulusan itu adalah ridha
Dan perumpamaan itu untuk kefahaman hanya..

Tapi katanya….
itulah yang diajari
Sekolah Agama bukan gurauan

Anakku..
Abah rakamkan puisi ini tanpa lagu
Harap hanya kefahaman buat mindamu
Seekor domba adalah lebih kecil dari lembu
Dan lembu itu kecil dari unta
Dengan nilainya mengikut upaya dan setulus hatimu
Kamu juga boleh beli tiket menaiki jet cahaya

Anakku tersenyum…
Ku Tanya mengapa?
Jawabnya, kalau gitu dia mahu beli domba dulu
Bila besar dan mampu beli pula lembu
Dan bila kaya akan korbankan unta..
Ku Tanya buat apa?
Katanya…supaya dapat tiket ikhlas menaiki kenderaan cahaya ke Firdausi.

Aku tersenyum tidak tertahan menahan kelakarnya
Jauh di dalam……. aku bersyukur pada Illahi.

Oleh Tun Sheikh
JB 18.11.2010

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Puisi Sastera
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere