Saturday, October 23, 2010

PERHIMPUNAN MELAYU 2010

PERHIMPUNAN MELAYU MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI

Jerit pekikmu
Memang menyentuh perasaan
Antara sayang dan kasihan
Juga kesadaran untuk berlawan.

Tapi bukan keris usang itu
Yang kami mahu
Bukan pembangunan pesat itu
Kami tidak tahu.
Bukan rasa kesyukuran
Kami tidak rasai.

Bukan, bukan itu.
Kami hargai itu..
Kami berbangga terhadap kejayaanmu..
Kami bersyukur dan berterima kasih
Terhadap jasa-jasamu.

Kami hanya benci
Bila hanya ikan bilis yang kamu sembelih
Dan membiarkan jerung terus membaham milik kami.

Kami sudah meluat
Kami dapat satu
Untuk bekalan satu hari.
Tapi kamu dan kroni...
Merembat bekalan untuk setahun.
Besok kami akan lapar lagi
dan memaksa diri meminta sedekah
Memaksa kami meminta-minta
Dari kamu.....

Tapi kamu dan kroni-kroni
Berseronokan melancong ke serata dunia
Kamu hebohkan lauk kami yang kamu beri itu
Lauk ikan kering yang sedap bekalan sehari itu

Kamu sanggup tipu kami
Kamu belanja bukan hak kami katamu...
Tapi hasil usaha dan kepintaran kamu.

Kami bukan membenci kamu
Tapi jika kamu tidak amanah
Mengurus hidup kami
Yang telah kami percayakan kepada kamu
Kamu akan kami nyahkan.

Jangan kamu berterusan
Melaungkan kemenangan
Tetapi...
Kampung kami tergadai!!


Oleh Tun Sheikh
JB 23.10.2010

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Puisi Sastera
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere