Monday, January 14, 2013

HIMPUNAN RAKYAT 12 .1.2013 (HRKL112)


HIMPUNAN RAKYAT 12 .1.2013 (HRKL112)

Hari Himpunan Rakyat di KL 12 Januari 2013
Adalah hari rahmat dan berkat
Hari yang membawa keyakinan menolak penipuan.

Bukan hari berjanji kosong tetapi adalah azam
Beriktizam dan menyemarakkan cita-cita
Untuk mengembalikan kebajikan kepada  semua
Terutamanya kepada rakyat jelata yang marhein
Supaya tidak berterusan sesak nafas mengharungi hidup
Supaya diberi peluang menikmati nasi briani
Tidak lagi kais pagi makan pagi.

Dan terpaksa menghindar diri dalam keadaan terhina
Ketika pemimpin BN melewati jalan dengan Daimler atau merce
Yang diekori mata rakyat dengan penuh kehampaan
Kerana kemewahan mereka dilitup dengan aura kesombongan
Kerana kemewahan mereka menghina rakyat bawahan
Kerana kemewahan mereka menjauhkan cara makan dan cara beragam.

Padahal kesemua itu  adalah hasil pembohongan dan penipuan
Hasil kebijaksanaan mencuri harta rakyat atas nama penguasa
Atas nama barisan kerajaan, atas nama Pembina bangsa
Tetapi sebenarnya adalah atas kejayaan menipu pilihanraya.
Berjaya menipu kerajaan negeri dengan royalty  minyak dan peruntukan
Berjaya menipu rakyat dengan hasil  rasuah yang mendarah daging
Bijak memainkan pembohongan memaksa rakyat hidup dalam ketakutan dan was-was agama
Mengangkat isu perkauman mencari keuntungan untuk diri sendiri.

Di hari Himpunan Rakyat KL 12 Januari 2013
Stadium Merdeka dan sekitarnya penuh dengan lautan manusia
Yang tidak kurang malah lebih 450,000  kepala atau sejuta
Tetapi hanya dihitung 45,000 sahaja
Oleh polis yang malu meskipun rakyat telah maafkan mereka.

Aku  juga turut serta dengan memakai baju merah
Bersedia menyembunyikan darah jika berdarah
Dengan semangat menuntut hak dan maruah
Sebuah Negara kebajikan dan  seribu doa
Mudah-mudahan UmnoBn sedar atau terus punah
Melalui kuasa rakyat yang disangka lemah tetapi  berhemah.

Himpunan Rakyat KL 12 Januari 2013
Adalah bukti rakyat adalah baik daripada kerajaan retorik BN
Dan polis juga baik jika kepalanya  amanah
Bukan seperti kepala polis dulu yang sanggup memikul tilam jijik
Dan menghisap nanah bersama-sama
Orang politik yang mengajak bersyubahat menggadai maruah.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Stadium Merdeka KL 12.1.2013

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Puisi Sastera
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere