Tuesday, January 25, 2011

Anak-anak Sekolah Lagi

Tahun Baru 2011 – Anak-anak Sekolah Lagi

Tiada siapa yang tahu
Jika melihat keceriaan mata
Mahu pun linangan air mata anak-anak
Yang berlari-lari mahupun yang menyepi diri
Di tahun baru atau yang kembali ke sekolah lagi

Yang tahu hanyalah ke sekolah itu
Dengan sebuah harapan menggunung tinggi
Dari otak setiap penjaga mereka
Yang mungkin terpaksa memecah tabung
Dan berkira-kira duit yang jawapannya serupa
Kerana tiada pertambahan atau tercampur
Dari yang keluar atau gugur dari bumbung rumah.

Ibu-bapa penjaga yang sesal telah melalui
Kehidupan dan kepentingan pelajaran
Dari awal landasan usia mereka ke penghujung
Lalu terlihat fatamorgana harapan
Jika indah mahu anaknya lebih lagi
Jika susah mahu anaknya tidak mengikuti jejaknya

Lalu siapakah akan peduli
Jika sebuah harapn itu hancur
Kerana tersepit dengan keroncongan perut
Yang kosong dan lapar…..

Tersepit dengan inflasi barang yang membakar hati
Tapi tiada siapa yang dengar
Dalam hati yang sepi dan sayu
Tiada siapa yang dengar rintihan itu
Kecuali tuhan
Agar cigku tidak suruh membeli itu ini
Agar cikgu tidak suruh membayar itu dan ini
Agar cikgu tidak sewenang menukar pakaian seragam tahun dulu
Yang masih boleh dipakai atau untuk adik-adik.

Walau sudah murah kata mereka
Walau buku diberi untuk dibaca
Walau dihibur dengan kata-kata percuma
Tetapi ketahuilah…
Masih ramai yang memecah tabung sesen dua
Dengan linangan airmata harapan dan kepayahan
Dan ternyata tiada duit dari bumbung rumah
Yang gugur walau seribu tahun diharapkan.

Tahun baru 2011 tetap datang
Dan anak-anak ke sekolah lagi
Diekori sebuah harapan dan wajah-wajah pelbagai ragam.
Dengan nostalgia dan fatamorgana
Mudah-mudahan hidup berkat dalam kesenangan.

Anak-anak bangsaku…
belajarlah dengan bersungguh-sungguh!

Oleh Tun Sheikh
Hulu Langat 14.1.2011

Saturday, January 1, 2011

Tahun Baru 2011

Tahun Baru 2011

Nostalgia & Harapan


2011 tahun baru datang lagi
Bagiku...
adalah nostalgia dan harapan
setengah abad aku berdepan denganmu
suku pertama antara ingat dan lupa
suku kedua kutempuh dengan alam remaja dan bujangan
suku ketiga dengan isteri, keluarga dan rumahtangga
dan suku terakhir...
aku melihatmu sebagai sebuah entiti
yang menyeramkan juga pemberi amaran

Kau datang dan pergi
membawa bau hayalan dan angan-angan
kepada yang muda belia
sehingga dunia ini kelihatan untuk mereka
Kepada yang lupa...mereka hanyut
Yang beringat pula...menanam cita-cita dan iktizam

Dulu...
aku sambutmu dengan peringatan orang tua
agar jadi anak baik dan rajin berusaha
terhibur juga olehku
dengan tarian kuda kepang, ghazal dan zapin
ihsan kerajaan buat rakyat yang prihatin.

Kemudian...
aku pernah bersalam denganmu di bawah monas di Jakarta
tahun berikutnya di Ancol
dan di Puncak yang dingin
bersama teman-teman sekuliah dan kekasih.

Selepas itu...
Bersama keluargaku...
pernah ku sambutmu di Padang Merdeka
dan di pusat membeli-belah
tapi kini kurasa adalah sia-sia
Kelahiranmu sering disalahguna.

Kehadiranmu kini
bagiku tidak lagi gairah
kerana hakikatnya kau tiada apa
kecuali mengikut acuan minda manusia
dan memendekkan usia setiap yang baru
kerana kau sendiri bertambah tua.....

Bagi yang bijak...
Kedatanganmu adalah bagi memperingati hari mati
Agar bersedia dan beramal membawa bekal yang diredhai
Bagi yang hanyut...
Mereka adalah manusia yang sentiasa lupa
Samada mereka muda atau tua
Bahwa dunia ini adalah sementara
Mereka berpoya dan berlagak dunia ini mereka yang punya.

Oleh Tun Sheikh
JB 1.1.2011
 
Copyright 2009 Puisi Sastera
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere