Sunday, December 12, 2010

Pendidikan Songsang dan Sumbang

Didikan Sumbang
Dari Buah Fikiran Syaitan


Hari ini...
hatiku sayu dengan mata hati yang menangis
tika aku sibuk membeli sepatu
buat puteraku yang akan masuk darjah satu
telingaku dipanah pertanyaan sumbang
sama seperti tika aku
merawat hasil dirinya yang baru saja berkhitan.

Abah....
lepas khitan boleh kahwinkah
di sekolah boleh bercinta dengan perempuankah

Aku bertanya kembali
apakah maksud di hati
Puteraku berkata....
Dia dengar di sekolah nanti
akan diajar kahwin dan seks
yang dia tidak mengerti dan takut pada yang susah
kerana tidak tahu dan payah.

Terasa di lubuk hatiku
seolah-olah manusia Melayu hari ini
sedang dikuasai oleh syaitan manusia
yang bersembunyi dan bertopeng pada para ketua...

Manusia Melayu ini
sedang menyemai benih syaitan
di minda generasi muda
apabila berkeras
akan mengajar pendidikan seks
di sekolah pada tahap paling muda.

Aku terlihat...
Orang Melayu akan terhina
kerana kepimpinanya
menghina agama.

Mengapa kelahiran anak haram,
tidak dibenteras saja dengan pendidikan agama Islam?
Daripada terus membuka pekong minda yang sumbang...

Hari ini...
aku terus bergegas pulang
aku terus batalkan pendaftaran sekolah kerajaan
aku hantar puteraku ke sekolah ABIM yang Islam
Dengan harapan dia terselamat dari bisikan syaitan.

Aku bermohon dan memanjatkan doa
moga Melayu terselamat dari fitnah dunia
Mohon Allah memberi petunjuk khusus
kepada Melayu yang berkuasa
moga berotak luhur dan berhenti makan rasuah...
Atau...
Allah gantikan saja mereka
dengan orang yang bertakwa
yang pernah Tuhan sendiri janji dan beri ingatan.
Amin...Amin...Amin...ya Allah.

Oleh Tun Sheikh
JB 12.12.2010

Monday, December 6, 2010

PANTAI BAGAN LALANG SEPANG

BAGAN LALANG

Pertama kali kita bersua
30 tahun dahulu
kau menyambutku
bagai anak dara pingitan yang suci.

Udaramu nyaman dan pantaimu bersih
airmu kelihatan jernih dan menawan
bagai senyuman sidara manis menggoda.

Ketika itu.....
kau masih diselubungi kesepian
hanya orang kampung dan para nelayan
menikmati keindahan dan kecantikan dirimu.

Bagan lalang...
ketika itu kau menjadi tarikan
tempat menerima latihan sambil bersantai
pengunjung dan pecintamu masih terhad.

20 tahun dahulu...
aku datang lagi melepas rinduku
tapi sungguh bersedih dengan nasibmu
yang menjadi tawanan najis babi
semua wajahmu kehitaman dan....
bau susukmu sungguh meloyakan.
Aku hanya mengirim surat kasihku
kepada kerajaan agar percintaanku padamu
jangan terputus kecewa.....
Hasil tangan penternak babi yang durjana.

10 tahun dahulu....
aku datang bersama keluargaku
mengenang nostalgia percintaan kita
kau telah mula dirawat pulih
dan anak-anakku sungguh mesra dengan kecantikanmu.
Tapi.....
Bagiku...percintaan kita akan terpisah jua
dengan lambaian jari-jari halusmu
kerana kau terikat dengan pengusaha jutawan arab
yang pada suatu hari nanti
tidak akan membenarkan kami menikmati kecantikanmu.

Bagan Lalang....
Mimpi dan rinduku dulu hampir jadi kenyataan
kerana kini pengunjungmu berbondong-bondong datang
tapi...
bukan seperti aku dan keluarga yang kurang wang
kerana belanja untuk menikmati kecantikanmu
sungguh mahal dan hanya untuk jutawan

Bagan Lalang...
Hari itu aku datang melepas rinduku
Mengintai kecantikanmu....
Jalan di pantaimu banyak berubah penuh sekatan
Aku sedih dan risau
jika pada tahun hadapan
aku tidak dibenarkan masuk
kecuali dengan wang ribu-ribu....

Bagan Lalang....
Maka terkedulah hatiku dalam ketuaan usia
terasa cintamu hanya untuk orang kaya dan muda
Padahal..
kau adalah warisan nenek moyangku
kini terjual kerana kerakusan pemimpin Melayu.

Oleh Tun Sheikh
Pantai Bagan Lalang Sepang
5.12.2010

Thursday, November 25, 2010

RAYA HAJI 2010

RAYA KORBAN 2010

Lagu puisi ini
Ku rakam pada raya haji kedua ,
Khamis 18 November 2010
Buat puteraku seusia 9 tahun
Yang bertanya….
Yang ku pandang dengan kasih seperti lainnya
Yang bernama Firdaus supaya aku ingat
Dan berharap ke sana…

Lagu puisi ini ku rakamkan dalam mindanya
Yang bertanya korban itu apa?
Mengapa nanti orang naik domba, lembu atau unta?
Padahal di zaman ini orang sedang cipta
Kenderaan berkuasa jet bertenaga cahaya.

Ku katakan korban itu
Adalah ketulusan lambang tawaduk
Lambang penyerahan nyawa yang tahu bersyukur
Bukan tanda membeli kenderaan domba, lembu atau unta
Ketulusan itu adalah ridha
Dan perumpamaan itu untuk kefahaman hanya..

Tapi katanya….
itulah yang diajari
Sekolah Agama bukan gurauan

Anakku..
Abah rakamkan puisi ini tanpa lagu
Harap hanya kefahaman buat mindamu
Seekor domba adalah lebih kecil dari lembu
Dan lembu itu kecil dari unta
Dengan nilainya mengikut upaya dan setulus hatimu
Kamu juga boleh beli tiket menaiki jet cahaya

Anakku tersenyum…
Ku Tanya mengapa?
Jawabnya, kalau gitu dia mahu beli domba dulu
Bila besar dan mampu beli pula lembu
Dan bila kaya akan korbankan unta..
Ku Tanya buat apa?
Katanya…supaya dapat tiket ikhlas menaiki kenderaan cahaya ke Firdausi.

Aku tersenyum tidak tertahan menahan kelakarnya
Jauh di dalam……. aku bersyukur pada Illahi.

Oleh Tun Sheikh
JB 18.11.2010

Saturday, October 23, 2010

PERHIMPUNAN MELAYU 2010

PERHIMPUNAN MELAYU MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI

Jerit pekikmu
Memang menyentuh perasaan
Antara sayang dan kasihan
Juga kesadaran untuk berlawan.

Tapi bukan keris usang itu
Yang kami mahu
Bukan pembangunan pesat itu
Kami tidak tahu.
Bukan rasa kesyukuran
Kami tidak rasai.

Bukan, bukan itu.
Kami hargai itu..
Kami berbangga terhadap kejayaanmu..
Kami bersyukur dan berterima kasih
Terhadap jasa-jasamu.

Kami hanya benci
Bila hanya ikan bilis yang kamu sembelih
Dan membiarkan jerung terus membaham milik kami.

Kami sudah meluat
Kami dapat satu
Untuk bekalan satu hari.
Tapi kamu dan kroni...
Merembat bekalan untuk setahun.
Besok kami akan lapar lagi
dan memaksa diri meminta sedekah
Memaksa kami meminta-minta
Dari kamu.....

Tapi kamu dan kroni-kroni
Berseronokan melancong ke serata dunia
Kamu hebohkan lauk kami yang kamu beri itu
Lauk ikan kering yang sedap bekalan sehari itu

Kamu sanggup tipu kami
Kamu belanja bukan hak kami katamu...
Tapi hasil usaha dan kepintaran kamu.

Kami bukan membenci kamu
Tapi jika kamu tidak amanah
Mengurus hidup kami
Yang telah kami percayakan kepada kamu
Kamu akan kami nyahkan.

Jangan kamu berterusan
Melaungkan kemenangan
Tetapi...
Kampung kami tergadai!!


Oleh Tun Sheikh
JB 23.10.2010

BAJET GINCU 2011

BAJET GINCU UNTUK UMNO

Seperti dulu-dulu
Macam dulu-dulu
Kau panggil pakar pengipasmu
Berhujah melonjakkan namamu
Menguar-uarkan faedah dan kebaikan
Untuk semua lapisan rakyat katamu.

Bajetmu itu memang untuk rakyat
Tapi seperti dulu-dulu
Macam dulu-dulu
Rakyatmu bukannya bangsa Malaysia
Tetapi Melayu
dan juga bukan Melayu
Melayu dan bukan Melayu itu
Yang menjadi ahli dacing atau memiliki keris sahaja.

Itu adalah bajet gincumu
Setelah kau melihat
banyak ahlimu mencampakkan keris
kerana tidak kejujuranmu
Setelah kau melihat
sebahagian dacingmu sudah berat sebelah.
Kerana kau menghadiahkan pistol dan senjata api
kepada kroni-keronimu hanya....

Itu hanyalah bajet gincu
Bagi menarik dan menunjukkan manisnya
Bibirmu yang sudah sedia merah.

Bukan bajet untuk rakyat Malaysia
Yang telah memiliki senjata akal
dan kesadaran
walau hanya seperti senapang patah
Tetapi adalah cukup untuk memujuk
Ahli-ahli mu yang berkeris hanya
Kerana mereka telah tahu
Mereka telah yakin
Mereka tertipu
dan senjata keris yang kau hadiahkan itu
Sudah sia-sia dan tidak relevan.

Bajet Gincu
Adalah bajet gula-gula
Supaya memilihmu lagi
Menjadi ketua memegang kuasa
Dalam Pilihanraya Negara Ke XIII.

Tidakkah kau tahu..???
Rakyat mahukan keadilan dan kejujuran
Keris, pistol, senapang dan senjati api itu...
Bukanlah isu yang perlu diutama
Yang perlu ditakuti..

Tidakkah kau tahu...?
Mereka hanya mahu kau
berlaku jujur dan amanah
Bukan sikap dan perangaimu
dengan kroni-kroni
YANG SESAT DAN MENYESATKAN
Di sebalik bibir merah yang manis menawan.

Oleh Tun Sheikh
JB 22/10/2010

Thursday, September 30, 2010

KEPIMPINAN BUSUT MENERAJUI GUNUNG

APABILA BUSUT-BUSUT MENERAJUI GUNUNG-GANANG

Berikutan tulisan Tun Sheikh mengenai sebuah puisi penyair terkenal yang bertemakan tanda-tanda hari hendak siang, banyak e-mel, sms dan panggilan telefon diterima menyarankan Tun Sheikh coba berpuisi. Mereka mengesyorkan laman puisi diwujudkan dan jika Tun Sheikh terlalu sibuk untuk menulis dengan panjang lebar, bolehlah coba catat dalam bentuk puisi.Tidak perlu guna bahasa puitis atau tidak semestinya sedap, bermutu dan sebagainya. Ini adalah kerana puisi bersifat subjektif dan blog ini pula berciri merdeka dan bebas untk berkarya lebih-lebih jika berniat baik dan bertujuan murni. Maksudnya, ia sebagai wadah yang ada nilai intelektual yang bebas dan terbuka kepada sesiapa. Jika suka... dipersilakan menghayati dan jika tidak, banyak lagi blog-blog lain yang boleh dicari mengikut citarasa hati untuk faedah diri. Betul juga falsafah itu.

Masa muda-muda dulu pernah juga Tun Sheikh berpuisi. Tapi masa itu muda belia sedang terpengaruh dengan angin cinta. Bila sudah tua, angin itu berkurang dan datang pula angin lain. Kata orang-orang yang telah melaluinya, akhirnya nanti seluruh badan akan masuk angin ketika tua dan serata rumah akan dipenuhi bau minyak angin... tak apalah kita tinggalkan hal itu dan di sini Tun Sheikh coba berpuisi prihal sebuah jabatan bernaunsa WANITA...

Dato'tua yg masih gagah itu
Akan berkelana pergi
Meninggalkan gunung gedung
Khazanah warisan negara
Dia akan pergi pada 7 Oktober ini
Dengan senyum sinis 1000 makna.

Dia adalah lambang kejantanan fikiran
Tapi Dato' terpaksa akur dengan kontrak kerajaan
Walau nanti poket akan kempis duit
Kerana elaun ditamatkan.
Walau nanti ada yang nangis dan ada yang tidak sangsi
Kerana ada yang mendoakan.....

Di gunung itu nanti....
Busut-busut betina akan menerajui
Sedia menonjol di sana-sini
Satu busut dara dengan dua busut di dada
Sudah beruap mengeluarkan haba kuasa
Walau masih dara dan busut dada tersembunyi layu
Tetapi tarikan dan bau wanginya masih syahdu.
Ego dan emosinya... bisa bertukar jadi merapi.

Ada busut jantan lebih kecil dari betina
Orang kata mereka laki bini
Dan gunung mereka akan tinggi bila pasangan busut ini...
Bertahta di atas katil di puncak gunung itu
Tika jadi timbalan busut dara,
Yang tanahnya masih muda......

Ada juga busut betina yang janda
Yang di dadanya ada lambang kesuburan
Juga mengintai-intai jadi timbalan.
Ada busut betina yang sombong
Bila marah mahupun gembira
Hidungnya kembang memanjang melopong
Ada banyak lagi busut-busut
Yang sedang melonggok-longgok tanah
Untuk meninggi di puncak gunung supaya kelihatan...

Ku doakan dalam kesejahteraan
Semoga tiada bersama mereka
Anai-anai yang bisa merobohkan
Gunung gedung warisan
Kerana di dada-dada mereka
Ada pelbagai tarikan dan perbicaraan.......

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
 
Copyright 2009 Puisi Sastera
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere