Tuesday, September 18, 2012

Hari Malaysia 16 September 2012


Hari Malaysia 16 September 2012

Hari Malaysia 2012
Ku sambut dengan menjadi jurucakap keluarga
Menerima rombongan pinangan anak saudara
Si dara dan si janda yang lawa
Pagi Di Kota Tinggi dan petang di JB.

Yang menggoyang batang pohon kegembiraan jantung hati
Kerana pemikiran dan kencenderungan keluarga rombongan yang datang
Meskipun  berlatar umno totok
Tetapi telah berparadigma minda
Yang mengaku masih sayang UMNO tetapi benci.
Sayang kerana UMNO membangun Negara
Benci kerana pemimpinnya telah pecah amanah
Lupa diri lupa naluri.
Benci kerana budaya rasuah dan kroni berleluasa.
Benci kerana berfikiran jumud memihak pendusta.

Mereka berjanji  akan berkempen menyingkirkan umnobn
Dalam PR 13 nanti yang tidak sabar lagi dinanti
Untuk memberi  pengajaran dan keinsafan.
Supaya Melayu UMNO di hari muka
Kembali ke perjuangan asal sebagaimana datuk nenek moyang mereka
Yang ikhlas menabur jasa untuk kepentingan agama dan bangsa
Bukan menipu bangsa sendiri  untuk cepat kaya.
Dan melihat agama mudah dipersenda.

Oleh Tun Sheikh
Taman Sutera JB 16.9.2012

Sunday, September 9, 2012

JAHATNYA PESAKAKU


JAHATNYA PESAKAKU

PESAKA…..
PUSAKA….
SAKA……
Atau adakah kau PUAKA…?
Kau mengaku sebagai pejuang Melayu
Mengangkat martabat raja jua agama
Tapi mengapa kau begitu jahat
Seperti pembodek yang menjilat kemaluan syaitan?

Aku sungguh malu
Dan sangat gelisah melihat peradabanmu
Yang biadap tidak tahu malu
Yang telah menjatuhkan nilai kewajaran
Pemikiran Melayu yang tinggi
Kebudayaan Melayu terpuji
Amalan Islam yang suci.

Ah! Pesakaku…
Jangan kau mengaku aku sebangsamu
Kerana sudah lama aku bertalikan Islam
Bukan warna kulit dan bangsa serta
Pemikiran yang sesat sepertimu
Aku tidak mahu kau di sisiku
Kerana kau sudah menjadi iblis durjana.
Yang terngiur dengan duit dan harta dunia.

Oleh Tun Sheikh
Pagoh Muar 2.9.2012

KEMERDEKAAN TAHUN 2012


KEMERDEKAAN TAHUN 2012

Kemerdekaan tahun 2012
Adalah kecelaruan pemikiran
Barisan kepimpinan pembudaya 1001 macam rasuah
Yang tidak dapat memilih
Antara…  Pengaruh dan kuasa
Antara…  Kepentingan diri dengan Negara
Antara…  Duit, harta dan agama
Antara…Yang berhak dengan
Si pendusta
Si penganiaya
Si pembodek dan pengampu
Dan Si tolol dengan Si Bebal Samdol.

Dengan Janji Ditepati
Si Zalim menuntut kuasa terus menipu
Memasuki bakul dan mengangkatnya sendiri
Si Samseng terus mendapat mandat
Meperaga urat dan otot-otot iblis untuk memeras
Si Perasuah terus bermaharajalela
Engkau satu, Kamu satu dan aku tiga atau dengan rakus kesemuanya,
Aku punya…..

Kemerdekaan tahun 2012
Adalah hari yang tidak sepatutnya memualkan
Kerana demokrasi itu masih rahsia
Tapi kehebatannya tidaklah sehebat
Seperti……
Cara Hidup Islam Yang Bahagia.
Kemerdekaan Yang Mulia
Yang sepatutnya diperkasa.

Oleh Tun Sheikh
Dusun Tua 31.8.2012

Wednesday, June 13, 2012

Melayu Koman Mentaliti Lokal


Melayu Koman Mentaliti Lokal

Anakku
Kau warisan Melayuku
Walau banyak darah bercampur baur
Melayumu tetap unggul bila nilai agama menonjol.
Janganlah jadi Melayu yang sesat
Kemudian menyesatkan seperti mereka itu
Ah…kau tahu dan kenal siapa mereka.

Ingatlah bahawa agama ini bukan untuk Melayu
Islam ini adalah untuk manusia
Jangan ikut mereka yang tersesat
Mengaku Islam mempersenda agama tidak didaulat.

Kawallah dirimu dari ujub dan sombong
Jagalah kepercayaanmu supaya tidak bergantung
Seperti bergantungnya mereka kepada kuasa akal dan material
Hingga yakin duit membuat mereka dihormati dan disanjung
Yang telah menjurumuskan mereka dengan keangkuhan
Merosakkan budaya Melayu bernilai universal
Jadi Melayu koman dan lokal
Seperti katak di bawah tempurung.
Janganlah jadi Melayu Koman mentaliti  lokal.
Tidak tahu membeda antara negeri dan federal.
Oleh Tun Sheikh
UTM JB 10.6.2012

Bukalah Pintu Minda


Bukalah  Pintu Minda

Anakku
Rasanya tiada harta dapat ku tinggal
Tiada duit dapat ku bekal
Untukmu bangsa dan keturunanku
Kecuali
Nasihat dan peringatanku
Agar engkau membongkar Kitab ajaib itu
Dan kau cari penjelasannya dalam sunnah Rasul.

Bergaullah dengan sesiapa
Hormatilah makhluk segala
Tetapi letakkanlah kesempurnaan Yang Maha Esa
Bersifat esa tanpa perbandingan segala.

Lihatlah wahai anakku
Bagaimana harta dan kuasa
Telah membutakan Melayu UMNO
Hinggga menjadi sombong dan angkuh
Yang mengaku berlari pantas di tengah padang rata
Padahal mereka kelihatan meraba-raba di tengah hari seperti buta.

Berfikirlah anakku dengan kekerdilan diri
Melihatlah dengan mengagongkan kebesaran Allah
Supaya mata hatimu tidak tersilau dengan nafsu durjana dunia
Bukalah mindamu dengan petunjuk Illahi
Agar kau berani mengganti mereka
Agar kau berani membuat perubahan
Kerana engkau orang muda
Menjadi harapan  bangsa dan Negara
Menegak kebenaran mencegah kemungkaran.
Menjunjung agama di gemala tahta akal dan fikiran.

Oleh Tun Sheikh
Damansara KL 6.6.2012

Wednesday, May 9, 2012

Bersihkan Hati Dan Pemikiran

Bersihkan Hati Dan Pemikiran

Anakku…
Bersihkanlah hati dan pemikiranmu
Dengan bersangka baik dan harapan elok
Lintasan hodoh dan buruk seseorang yang tuhan ilhamkan itu
Hendaklah kau rahsiakan dalam kalbumu.
Hatimu jika terpana dengan nur ketuhanan,
Maka ia tidak akan berdusta
Kepada pemikiranmu walau sedaya upaya syaitan
Berterusan menghasut dan menipumu untuk ke neraka
Yang digambarkan sebagai syurga.

 Anakku….
Kau tidak akan dapat membebaskan dirimu
Walau sehebat dan sekuat mana dirimu
dengan kekuatan dan kuasa sihir syaitan
Dan syaitan manusia itu adalah sedurjana musuh iman
Tiada kuasamu hai anakku,
Tiada kuasa ku, tiada kuasa ibu dan sesiapa
Yang dapat membantumu
Untuk melawannya kecuali dengan kuasa Allah
Yang kau wajib mohon dan yakin dengan penuh keredhaan.

Mohonlah hai anakku
Kepada Allah yang melepaskan diri hamba-hamba
Daripada  syaitan yang celaka dan sombong.
Jika kau tidak memohon perlindungan daripada Nya,
Maka kau dilepas kepada syaitan oleh Allah
Maka jadilah engkau sebagai umat iblis.

Anakku…
Bersihkan hati dan pemikiran
Letakkan yang putih bersih itu pada tempatnya
Dan peliharalah ia agar berterus dikata putih
Kerana itulah haknya yang ditetapkan Tuhan.
Bukalah mata hatimu dan kenalilah hitam itu dengan pemikiran
Kerana hitam itu gelap tetapi faham.
Jika kau keliru untuk memilih jalan keredhaan Tuhan
Maka buka dan baca dan fahamilah rujukan wajib dan petunjuk nyata
Quran itu qalam Allah, dan sunaturrasul itu penghurai segala.
 Yang bersih tetap bersih
Jangan kau tertipu dengan syaitan
Yang menyihir pada hati dan pemikiran
Hingga mengatakan yang kotor itu bersih dan sebagai kekasih.

Oleh Tun Sheikh
(Sempena Bersih 3.00  28042012 Yang diputar sidurjana)
Parlimen KL 7 Mei 2012

Bersih 28 April 2012


Bersih 28 April 2012

Bersih…..
Mesejmu bukan sahaja untuk pilihanraya
Tetapi juga membongkar penipuan segala
Orang mungkar sahaja membencimu
Orang yang kotor jiwa.

Bersih……
Ramai yang merinduimu
Ramai yang gairah denganmu
Ramai yang mengharap kejayaanmu
Yang bukan sahaja untuk pilihanraya
Tetapi juga membongkar perompak gila
Juga membongkar perangai anjing-anjing suruhan yang hina
Yang darah dan dagingnya hidup hasil suapan haram.

Bersih….
Lawanmu kotor
Yang menentang dan menghalang
Adalah orang yang jiwanya busuk
Mereka tersuap dengan hasil yang jijik
Sehingga fikiran mereka rosak dan terhijab
Daripada yang bersih dan terpuji.

Oleh Tun Sheikh
KL 28.4.2012
 
Copyright 2009 Puisi Sastera
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere