Sunday, September 9, 2012

KEMERDEKAAN TAHUN 2012


KEMERDEKAAN TAHUN 2012

Kemerdekaan tahun 2012
Adalah kecelaruan pemikiran
Barisan kepimpinan pembudaya 1001 macam rasuah
Yang tidak dapat memilih
Antara…  Pengaruh dan kuasa
Antara…  Kepentingan diri dengan Negara
Antara…  Duit, harta dan agama
Antara…Yang berhak dengan
Si pendusta
Si penganiaya
Si pembodek dan pengampu
Dan Si tolol dengan Si Bebal Samdol.

Dengan Janji Ditepati
Si Zalim menuntut kuasa terus menipu
Memasuki bakul dan mengangkatnya sendiri
Si Samseng terus mendapat mandat
Meperaga urat dan otot-otot iblis untuk memeras
Si Perasuah terus bermaharajalela
Engkau satu, Kamu satu dan aku tiga atau dengan rakus kesemuanya,
Aku punya…..

Kemerdekaan tahun 2012
Adalah hari yang tidak sepatutnya memualkan
Kerana demokrasi itu masih rahsia
Tapi kehebatannya tidaklah sehebat
Seperti……
Cara Hidup Islam Yang Bahagia.
Kemerdekaan Yang Mulia
Yang sepatutnya diperkasa.

Oleh Tun Sheikh
Dusun Tua 31.8.2012

Wednesday, June 13, 2012

Melayu Koman Mentaliti Lokal


Melayu Koman Mentaliti Lokal

Anakku
Kau warisan Melayuku
Walau banyak darah bercampur baur
Melayumu tetap unggul bila nilai agama menonjol.
Janganlah jadi Melayu yang sesat
Kemudian menyesatkan seperti mereka itu
Ah…kau tahu dan kenal siapa mereka.

Ingatlah bahawa agama ini bukan untuk Melayu
Islam ini adalah untuk manusia
Jangan ikut mereka yang tersesat
Mengaku Islam mempersenda agama tidak didaulat.

Kawallah dirimu dari ujub dan sombong
Jagalah kepercayaanmu supaya tidak bergantung
Seperti bergantungnya mereka kepada kuasa akal dan material
Hingga yakin duit membuat mereka dihormati dan disanjung
Yang telah menjurumuskan mereka dengan keangkuhan
Merosakkan budaya Melayu bernilai universal
Jadi Melayu koman dan lokal
Seperti katak di bawah tempurung.
Janganlah jadi Melayu Koman mentaliti  lokal.
Tidak tahu membeda antara negeri dan federal.
Oleh Tun Sheikh
UTM JB 10.6.2012

Bukalah Pintu Minda


Bukalah  Pintu Minda

Anakku
Rasanya tiada harta dapat ku tinggal
Tiada duit dapat ku bekal
Untukmu bangsa dan keturunanku
Kecuali
Nasihat dan peringatanku
Agar engkau membongkar Kitab ajaib itu
Dan kau cari penjelasannya dalam sunnah Rasul.

Bergaullah dengan sesiapa
Hormatilah makhluk segala
Tetapi letakkanlah kesempurnaan Yang Maha Esa
Bersifat esa tanpa perbandingan segala.

Lihatlah wahai anakku
Bagaimana harta dan kuasa
Telah membutakan Melayu UMNO
Hinggga menjadi sombong dan angkuh
Yang mengaku berlari pantas di tengah padang rata
Padahal mereka kelihatan meraba-raba di tengah hari seperti buta.

Berfikirlah anakku dengan kekerdilan diri
Melihatlah dengan mengagongkan kebesaran Allah
Supaya mata hatimu tidak tersilau dengan nafsu durjana dunia
Bukalah mindamu dengan petunjuk Illahi
Agar kau berani mengganti mereka
Agar kau berani membuat perubahan
Kerana engkau orang muda
Menjadi harapan  bangsa dan Negara
Menegak kebenaran mencegah kemungkaran.
Menjunjung agama di gemala tahta akal dan fikiran.

Oleh Tun Sheikh
Damansara KL 6.6.2012

Wednesday, May 9, 2012

Bersihkan Hati Dan Pemikiran

Bersihkan Hati Dan Pemikiran

Anakku…
Bersihkanlah hati dan pemikiranmu
Dengan bersangka baik dan harapan elok
Lintasan hodoh dan buruk seseorang yang tuhan ilhamkan itu
Hendaklah kau rahsiakan dalam kalbumu.
Hatimu jika terpana dengan nur ketuhanan,
Maka ia tidak akan berdusta
Kepada pemikiranmu walau sedaya upaya syaitan
Berterusan menghasut dan menipumu untuk ke neraka
Yang digambarkan sebagai syurga.

 Anakku….
Kau tidak akan dapat membebaskan dirimu
Walau sehebat dan sekuat mana dirimu
dengan kekuatan dan kuasa sihir syaitan
Dan syaitan manusia itu adalah sedurjana musuh iman
Tiada kuasamu hai anakku,
Tiada kuasa ku, tiada kuasa ibu dan sesiapa
Yang dapat membantumu
Untuk melawannya kecuali dengan kuasa Allah
Yang kau wajib mohon dan yakin dengan penuh keredhaan.

Mohonlah hai anakku
Kepada Allah yang melepaskan diri hamba-hamba
Daripada  syaitan yang celaka dan sombong.
Jika kau tidak memohon perlindungan daripada Nya,
Maka kau dilepas kepada syaitan oleh Allah
Maka jadilah engkau sebagai umat iblis.

Anakku…
Bersihkan hati dan pemikiran
Letakkan yang putih bersih itu pada tempatnya
Dan peliharalah ia agar berterus dikata putih
Kerana itulah haknya yang ditetapkan Tuhan.
Bukalah mata hatimu dan kenalilah hitam itu dengan pemikiran
Kerana hitam itu gelap tetapi faham.
Jika kau keliru untuk memilih jalan keredhaan Tuhan
Maka buka dan baca dan fahamilah rujukan wajib dan petunjuk nyata
Quran itu qalam Allah, dan sunaturrasul itu penghurai segala.
 Yang bersih tetap bersih
Jangan kau tertipu dengan syaitan
Yang menyihir pada hati dan pemikiran
Hingga mengatakan yang kotor itu bersih dan sebagai kekasih.

Oleh Tun Sheikh
(Sempena Bersih 3.00  28042012 Yang diputar sidurjana)
Parlimen KL 7 Mei 2012

Bersih 28 April 2012


Bersih 28 April 2012

Bersih…..
Mesejmu bukan sahaja untuk pilihanraya
Tetapi juga membongkar penipuan segala
Orang mungkar sahaja membencimu
Orang yang kotor jiwa.

Bersih……
Ramai yang merinduimu
Ramai yang gairah denganmu
Ramai yang mengharap kejayaanmu
Yang bukan sahaja untuk pilihanraya
Tetapi juga membongkar perompak gila
Juga membongkar perangai anjing-anjing suruhan yang hina
Yang darah dan dagingnya hidup hasil suapan haram.

Bersih….
Lawanmu kotor
Yang menentang dan menghalang
Adalah orang yang jiwanya busuk
Mereka tersuap dengan hasil yang jijik
Sehingga fikiran mereka rosak dan terhijab
Daripada yang bersih dan terpuji.

Oleh Tun Sheikh
KL 28.4.2012

Thursday, March 22, 2012

Sunan Gunung Jati Wali 9

Sunan Gunung Jati Wali 9

Assalamualaikum Abah

Assalamualaikum Ummi

Selamat Datang Ke pusara Nenda

Abah dan Ummi sekeluarga dari Malaysia

Abah dan Ummi orang Johor tapi tinggal di Kuala Lumpur

Abah tinggal berdekatan air mancur panas.

Ku jawab salam mereka

Tika kakiku melabuh tepat jam 12 malam di Gunung Jati

Keluar dari van pelacung

Setelah pinggulku keras 3 jam tanpa henti

Campur 2 jam dan 3 jam lagi dan campur lagi sepanjang hari

Ah…namun tubuhku rasa ringan

Tak sabar kepingin menziarahi pusara nenda yang melambai-lambai.

Ya..kami dari Kuala Lumpur

Ya..kami juga orang Johor

Bagaimana bisa debak..

Tanyaku entah mereka faham atau tidak

aku tidak tahu….

Sebab aku hantam saja bahasaku

Dasar Melayu Tak Hilang di Dunia

Cakap dengan Cina jadi Melayu pelat Cina

Cakap dengan India jadi Melayu pelat Keling

Cakap dengan Indon..eh jadi Melayu Indon…

Ah..Melayu lingua-franca kata sejarah budaya.

Kami dapat alamat gaib

Ada tetamu cucu-cicit nenda

Abah dan Ummi sekeluargalah yang bertepatan sampainya.

Mari Abah, mari ummi

Kami tunjukkan tempat penginapan

Agar berehat dulu sebelum ke pusara nenda

Jam 2.30 pagi akan saya kembali

Kita ziarah makam jam 3 pagi

Selepas Abah Ummi siap-siap mandi

Nenda pun sudah menanti.

Pakailah serba-puith lengkap dengan serban dan telekung sekali.

Jauh dibenakku….

Ah..sudah si penjaga makam ini

Dapatkah dia bedakan Karin nenda dengan roh idafi

Kata ulamak wali tidak mati

Tapi kupelajari tiada hubungan zahir sihidup dengan si mati.

Memang ilmu yang barokah menolak kejahilan

Ilmu alquran menolak kesesatan

Ah..dia hanya seorang ikhlas penjaga makam nenda

Dan bahasa arabnya lebih baik dariku sendiri

Tawadhuknya lebih halus dan tinggi..

Hasil berkat ajaran daie nenda yang kurindui..

Manakala aku hampir-hampir menjadi sekular anak zaman

Hanya tinggal cahaya zikir dan setitis darah nenda yang mengalir

Kerana itu kurasakan jalan hidup ini ada nur untuk berjalan.

Pada dini hari tepat jam 3 pagi

Kami tersungkur di makam nenda Sunan Gunung Jati

Berdoa bertafakur dan bersyukur

Setelah melintasi 3 pintu gerbang menara gusti

Lilihan air mata bercampur kewangian makam

Mengheretku dalam dimensi malam

Ramai ku dengar turut berzikir syahdu

Mengucapkan salam dan selamat kepada rombonganku

Dengan nasihat agar sentiasa ingat kepada Tuhan selalu

Jangan putus dibibir dan di qalbu.

Ya..titisan darah nenda denganku telah berkurun jauh

Tetapi itu bukan bererti hilang

Ia tetap ada dan berhubungan

Sampai hari kiamat dan keturunan mendatang.

Dengan nur akan bertaut

Secara nyata tapi rahsia hendaklah aku sambut.

Ya Tuhan…angkatlah diriku dalam rahmatMu

Seperti Kau angkat nendaku ketika hidupnya

Dan Kau muliakan dia setelah matinya.

Kurniakan aku kesedaran jiwa dalam iman yang Kau redha.

Dalam kerahsiaan dan rahmatMu….Amin-amin ya Allah….

Gunung Jati Cerebon

4.6.2011 WI 0600

Saturday, March 3, 2012

Musim-Musim Pilihanraya Politik Kampung

Musim-Musim Pilihanraya Politik Kampung

Dari belum lahirku
Pilihanraya sudah ada cerita ibuku
Pilihanraya Pertama Tahun 1955
Tika itu orang kampung tidak bersepatu
Banyak yang tidak berkemeja kecuali lusuh
Tidak kira Melayu, Cina atau India tukang basuh.

Propaganda dan kempen tentang komunis
Rakyat takut dan kecut
Propaganda dan kempen tentang pembagunan
Rakyat terhayal dengan seribu harapan.

Pilihanraya seterusnya
Negara beraya bangga dengan kemerdekaan
Seminggu orang kampung berbondong ke pekan
Dihibur dengan pesta kebudayaan.
Rakyat gembira seperti mendapat pisang
Ketika perut sedang kelaparan.
Tanpa mengetahui orang politik bernasi beriyani.

Mari bersatu padu tidak kira bangsa apa
Kata mereka berkempen dan
dalam propaganda memajukan negara
Tapi jangan percaya mereka
Kita tetap kita dan mereka adalah pendatang
Bersatulah kita jangan biarkan mereka besar kepala
Rakyat turut dalam ketakutan
Tetapi orang politik makan sedulang.

Pilihanraya 1969 aku sudah ingat
Pilihanraya umpama pesta
Pangung wayang padang seminggu sekali
Wayang di bandar sepi.

Kapal layar gah di sana sini
Memperlekeh tanduk lembu dan sekutunya
Yang bukan kapal layar itu komunis
Yang Cina itu makan babi
Yang makan babi itu komunis.
Kapal Layar itu Melayu dan UMNO
UMNO itu Kapal Layar dan orang kampung pun angguk-anguk
Sehingga di kampung-kampung kapal berlayar jauh
Menang besar tapi di kota besar kapal layar tenggelam
Pemimpin UMNO menjadi gusar
Takut penipuan terbongkar.
Mari bersatu padu kata mereka
Tetapi bila di kampung
Kita adalah kita dan jangan biarkan mereka besar kepala
Mereka makan babi dan yang makan babi adalah komunis
Rakyat angguk terasa takut dan kecut perut.

Kapal Layar dibakar di Kuala Lumpur
Aku tidak tahu apa
Kecuali dikurung emak sebulan dua
Dihantar abang ke sekolah seperti raja
Sebab di sekolahku bercampur Cina.
Rupa-rupanya itulah 13 Mei
Ku ketahui setelah dewasa
Dan kini bagiku adalah lebih sudu propaganda
Sudu-sudu UMNO mengekal kuasa
Menghalal apa cara kempen dan propaganda
Dan orang kampung pun terus angguk-angguk
Sebab takut dan kecut perut dengan mimpi dan harapan
Menjadi jutawan dan hidup senang di tanah air sendiri.

Kini aku sudah tua
Dulu aku pernah jadi ketua memikul poster
Gambar dacing yang pertama
Dengan upah RM150 sehari dalam tahun 1970-an
Bagai gaji setengah bulan
Seronok sungguh hingga lupa daratan
Sanggup ponteng sekolah berkempen ikut-ikutan.
Orang kampung sungguh setia
Masih angguk-angguk dan perut terus kecut ketakutan.

Walau PM telah ke Cina
Tapi yang makan babi jadi gangster dan jual roci kata mereka
Edar dadah sana sini buat Melayu jadi bodoh akal hilang pekerti
Orang Melayu terus angguk dan takut.
Angguk menyokong BN dengan ketakutan dan seribu harapan.

Kini telah 55 tahun merdeka
Kurang atau lebih sedikit dengan usiaku
Yang kaya dan mewah adalah anak cucu dan cicit
Pemimpin UMNO dan konco-konco politik BN
Orang Melayu lalai dengan suapan pelbagai hiburan dan filem Hindi
Orang Kampung pula seperti dulu jua
Walau gaji atau hasil RM2000 sebulan
Tetapi terpaksa membayar pelbagai cukai dan keperluan harian
Serupa seperti orang kampung tahun 60-an
Mereka dulu yang kurang berpakaian
Yang mendapat hasil gaji RM200 dan lauk harian di belakang rumah.
Dan hidup terus dalam ketakutan dan candu hayalan
Dari kempen BN yang rakus menjadi jutawan.
Semuanya terus hidup dalam pembohongan dan penipuan
Politik Kampung Melayu dari dulu hingga sekarang
Selagi hidup dan tersuap dengan budaya ketakutan.

Untuk bertukar politik membuat perubahan
Adalah mimpi ngeri
Kerana penipuan politik Melayu UMNO yang mendakwa suci.
Politik Merdeka, Telus, Jujur dan Tiada Penyelewengan
Adalah hayalan dalam budaya politik kesukuan dan ketakutan.

Oleh Tun Sheikh
Seri Perdana, KL 1.3.2012



 
Copyright 2009 Puisi Sastera
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere