Friday, May 13, 2011

Anakku Bangsa Melayu

Anakku Bangsa Melayu Perdengarkanlah


Anakku
Sejak mencelik mata untuk mengenal dunia
Adalah suatu takdir dan ketentuan Tuhan
Maka jadilah kita Melayu dan manusia lainnya
Seperti bermata biru, hijau, coklat dan pelbagai.

Inilah takdir yang kau tidak boleh ubah
dari Melayu menjadi Inggeris atau Hindustan
tetapi boleh sahaja walau engkau
bermata Melayu yang hitam atau coklat
berfikiran dan berotak Inggeris, Yahudi atau Nasarani.

Ingatlah anakku
Bahawa kita Melayu
Melayu itu serupa sahaja dengan bangsa Manusia
Tapi aku mahu kau Melayu Islam
Walau terhakis Melayumu kerana otak yang pelbagai
Tidaklah rela aku jika kau menjadi Yahudi atau Nasarani
Tidaklah rela aku jika kau menjadi yang lainnya
dan tidaklah rela aku jika kau Melayu kafir.

Anakku...perdengarkanlah
Boleh sahaja kau membenci Melayu
Boleh sahaja kau membuang adat resammu
Jika Melayumu dan adat resam Melayu
Bercanggah dengan syariat Islam.

Maka berdirilah atas tapak dan tiang seri yang kuat
Dengan keyakinan dan keimanan kepada Islam
dan janganlah kau minta mati kerana Melayu
Tapi citakanlah mati demi Islam.

Janganlah engkau keliru wahai anakku
Kita Melayu....
Tapi Melayu itu tidak menjamin syurga
Kecuali keimananmu terhadap Islam.
Maka jika kau menjadi Melayu durjana walau jutawan
Sebenarnya tiada apa nilaimu di sisi Tuhan.

Oleh Tun Sheikh
11 Mei 2011 Hulu Langat
Selangor

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Puisi Sastera
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere