Saturday, March 3, 2012

Musim-Musim Pilihanraya Politik Kampung

Musim-Musim Pilihanraya Politik Kampung

Dari belum lahirku
Pilihanraya sudah ada cerita ibuku
Pilihanraya Pertama Tahun 1955
Tika itu orang kampung tidak bersepatu
Banyak yang tidak berkemeja kecuali lusuh
Tidak kira Melayu, Cina atau India tukang basuh.

Propaganda dan kempen tentang komunis
Rakyat takut dan kecut
Propaganda dan kempen tentang pembagunan
Rakyat terhayal dengan seribu harapan.

Pilihanraya seterusnya
Negara beraya bangga dengan kemerdekaan
Seminggu orang kampung berbondong ke pekan
Dihibur dengan pesta kebudayaan.
Rakyat gembira seperti mendapat pisang
Ketika perut sedang kelaparan.
Tanpa mengetahui orang politik bernasi beriyani.

Mari bersatu padu tidak kira bangsa apa
Kata mereka berkempen dan
dalam propaganda memajukan negara
Tapi jangan percaya mereka
Kita tetap kita dan mereka adalah pendatang
Bersatulah kita jangan biarkan mereka besar kepala
Rakyat turut dalam ketakutan
Tetapi orang politik makan sedulang.

Pilihanraya 1969 aku sudah ingat
Pilihanraya umpama pesta
Pangung wayang padang seminggu sekali
Wayang di bandar sepi.

Kapal layar gah di sana sini
Memperlekeh tanduk lembu dan sekutunya
Yang bukan kapal layar itu komunis
Yang Cina itu makan babi
Yang makan babi itu komunis.
Kapal Layar itu Melayu dan UMNO
UMNO itu Kapal Layar dan orang kampung pun angguk-anguk
Sehingga di kampung-kampung kapal berlayar jauh
Menang besar tapi di kota besar kapal layar tenggelam
Pemimpin UMNO menjadi gusar
Takut penipuan terbongkar.
Mari bersatu padu kata mereka
Tetapi bila di kampung
Kita adalah kita dan jangan biarkan mereka besar kepala
Mereka makan babi dan yang makan babi adalah komunis
Rakyat angguk terasa takut dan kecut perut.

Kapal Layar dibakar di Kuala Lumpur
Aku tidak tahu apa
Kecuali dikurung emak sebulan dua
Dihantar abang ke sekolah seperti raja
Sebab di sekolahku bercampur Cina.
Rupa-rupanya itulah 13 Mei
Ku ketahui setelah dewasa
Dan kini bagiku adalah lebih sudu propaganda
Sudu-sudu UMNO mengekal kuasa
Menghalal apa cara kempen dan propaganda
Dan orang kampung pun terus angguk-angguk
Sebab takut dan kecut perut dengan mimpi dan harapan
Menjadi jutawan dan hidup senang di tanah air sendiri.

Kini aku sudah tua
Dulu aku pernah jadi ketua memikul poster
Gambar dacing yang pertama
Dengan upah RM150 sehari dalam tahun 1970-an
Bagai gaji setengah bulan
Seronok sungguh hingga lupa daratan
Sanggup ponteng sekolah berkempen ikut-ikutan.
Orang kampung sungguh setia
Masih angguk-angguk dan perut terus kecut ketakutan.

Walau PM telah ke Cina
Tapi yang makan babi jadi gangster dan jual roci kata mereka
Edar dadah sana sini buat Melayu jadi bodoh akal hilang pekerti
Orang Melayu terus angguk dan takut.
Angguk menyokong BN dengan ketakutan dan seribu harapan.

Kini telah 55 tahun merdeka
Kurang atau lebih sedikit dengan usiaku
Yang kaya dan mewah adalah anak cucu dan cicit
Pemimpin UMNO dan konco-konco politik BN
Orang Melayu lalai dengan suapan pelbagai hiburan dan filem Hindi
Orang Kampung pula seperti dulu jua
Walau gaji atau hasil RM2000 sebulan
Tetapi terpaksa membayar pelbagai cukai dan keperluan harian
Serupa seperti orang kampung tahun 60-an
Mereka dulu yang kurang berpakaian
Yang mendapat hasil gaji RM200 dan lauk harian di belakang rumah.
Dan hidup terus dalam ketakutan dan candu hayalan
Dari kempen BN yang rakus menjadi jutawan.
Semuanya terus hidup dalam pembohongan dan penipuan
Politik Kampung Melayu dari dulu hingga sekarang
Selagi hidup dan tersuap dengan budaya ketakutan.

Untuk bertukar politik membuat perubahan
Adalah mimpi ngeri
Kerana penipuan politik Melayu UMNO yang mendakwa suci.
Politik Merdeka, Telus, Jujur dan Tiada Penyelewengan
Adalah hayalan dalam budaya politik kesukuan dan ketakutan.

Oleh Tun Sheikh
Seri Perdana, KL 1.3.2012



No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Puisi Sastera
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere